Shahabudeen Jalil – Program Mentor

by Bublers on 04/15/2011

Sumber asal artikel : http://shahabudeenjalil.com/2011/04/program-mentor-bersama-sj-chef-nabil-kursus-masakan-jepun-1/

Pada kali ini, saya akan menceritakan bagaimana saya menjalankan program mentor saya bersama Chef Nabil.

Saya jumpa ramai orang yang datang bertanya saya mengenai perniagaan, tetapi saya terpaksa beritahu bahawa tak semua antara mereka yang berminat. Kebanyakkan lebih minat mendengar dan mereka seronok untuk berfikir atau lebih tepat berkhayal mempunyai perniagaan yang besar dan kaya-raya.

Saya pernah buang masa berjam-jam menceritakan mengenai perniagaan kepada seorang kawan yang berminat untuk memulakan perniagaan di New Zealand. Berbekalkan sedikit pengalaman memulakan perniagaan di sana yang saya ada, saya terangkan mengenai kaedah memulakan perniagaan di New Zealand hampir 3 jam. Setelah beberapa hari menunggu, saya mendapat jawapan biasa bahawa dia ini masih belum bersedia.

Saya ceritakan cerita ini kerana saya tak nak lagi menerima orang yang tidak serius untuk memulakan perniagaan. Mereka membuang masa mereka dan membuang masa saya. Ini antara sebab saya mengenakan bayaran bagi servis saya ini.

Berbalik kepada cerita Chef Nabil. Saya bertemu dengan Nabil kira-kira 2 minggu yang lepas. Dia datang bertemu untuk memulakan perniagaan.

Nabil berumur 24 tahun dan dia ini bekerja di sebuah hotel terkemuka di KL dan selain itu dia juga membuat sos untuk rangkaian restoran Nasi Ayam Gemas. Dalam masa yang sama, dia juga berkongsi dengan rakan menjual Spagetti di pasar-pasar malam untuk 4 hari seminggu.

Saya minta dia ceritakan apa sebenarnya yang dia nak buat. Saya tanya perkara ini untuk menyiasat samada dia serius memulakan perniagaan atau saja nak dengar-dengar cerita.

Dia mula menceritakan bahawa dia berminat untuk mengimport barangan katering dari China dengan modal yang kecil dan kemudian dia nak jual kepada kawan-kawan yang ada.

Saya tanya lagi samada dia sudah mempunyai permintaan yang banyak dan adakah dia yakin dia dapat menembusi pasaran ini yang bagi saya sudah hampir tepu.

Nabil menceritakan dia tidak mempunyai apa-apa seperti itu. Jika hanya kenal beberapa orang tukang masak yang dikenali. Dia juga telah beberapa kali gagal untuk membuat demo di TV. Mungkin kerana terdapat beberapa Chef yang sudah pun terkenal.

Setelah mendengar semua ini, saya bertanya apa sebenarnya yang dia pandai masak ?

Dia menjawab, dia mahir dalam memasakan masakan Western, Italian dan Japanese

Wow, terus saya dapat idea yang saya jangka menarik.

Kenapa tidak Nabil anjurkan “Kursus Masakan Makanan Jepun” ???

Nabil agak skeptikal dan bertanya “ada ke orang nak ?”

Saya menjawab, “Saya salah seorang yang paling benci makan masakan Jepun, tapi saya sangat yakin, ramai sangat orang nak belajar dan minat makan makanan ini”


Kami pun mula membuat brainstorming mengenai business plan ini. Kami cuba senaraikan apa kebaikan kursus ini dan apa kelemahannya ?

Kelebihan

1. Ramai peminat makanan Jepun di kalangan rakyat Malaysia (terutama perempuan). Banyak franchise yang telah berjaya dan kita boleh lihat orang beratur panjang semata-mata untuk makan makanan Jepun.

2. Jadi sudah tentu ramai yang ingin mengetahui kaedah memasak makanan ini.

3. Rakyat Malaysia cintakan makanan yang special.

4. Belum ada orang buat.

5. Mungkin tidak ada Chef yang tahu mengajar masakan ini.

6. Kajian di internet menunjukkan belum ada kursus sebegini di Malaysia. Di Indonesia sudah ada beberapa syarikat yang menganjurkannya.

Kelemahan

1. Belum ada orang buat.

2. Mungkin kerana banyak ramuan terdiri daripada bahan yang tidak halal.

Jika dilihat senarai di atas, kita dapat lihat ada satu point yang sama iaitu “Belum ada orang buat”

Point ini sebenarnya boleh jadi satu kelemahan, dan boleh jadi satu kelebihan.

Mengimbas kisah sebuah syarikat Nike yang menghantar wakil dari Amerika Syarikat untuk melawat sebuah negara di Afrika untuk membuat kajian pasaran. Orang Amerika ini ke Afrika dan dia lihat tidak ramai orang yang memakai kasut di negara itu.

Dia pulang dan membuat laporan bahawa “Syarikat kita tidak seharusnya meneroka pasaran ini kerana sangat sedikit orang yang pakai kasut di negara ini”

Seterusnya, syarikat ini menghantar wakil dari Hong Kong pula untuk membuat kajian pasaran terhadap negara Afrika yang sama dan wakil Hong Kong membuat laporan yang nyata berbeza. Menurut laporannya “Kita MESTI meneroka pasaran ini, kerana tidak ramai orang yang memakai kasut”

Situasi yang sama, tetapi persepsi yang berbeza.

Setelah meneliti semua ini, saya membuat keputusan supaya Nabil menganjurkan kursus ini. Business Modelnya adalah seperti berikut.

1. Kursus berbayar yang mengajarkan kaedah memasakan masakan Jepun. Ramuan akan diberikan secara percuma sewaktu kursus.

2. Untuk membantu peserta, Chef Nabil akan juga menjadi pengedar bahan mentah halal untuk memasakan masakan Jepun. Jualan boleh dibuat secara online menggunakan kedai di www.lot.my buat permulaan.

3. Selain dari Kursus yang beramai-ramai, kursus 1 sama 1 pun akan diadakan dengan bayaran yang sedikit lebih. Kursus sebegini akan diadakan di rumah peserta secara ekslusif.

Saya dan rakan-rakan merasakan business model ini cukup kuat untuk dilaksanakan.

Saya minta kebenaran untuk letak namanya Chef Nabil dan saya memulakan rancangan seterusnya iaitu memulakan dengan membuat website.

Kos untuk buat website hanya RM 132. RM 32 untuk domain dan RM 100 untuk hosting. (Terima kasih kepada www.bubhosting.com atas kadar yang murah ini )

Saya mencadangkan nama www.chefnabil.com

Saya cadangkan nama ini kerana, nama ini mudah dieja. Tidak ada orang akan tersilap eja Nabeel atau Naabil atau yang lain. Jadi nama ini mudah disebut, mudah ditulis, mudah diingat dan adalah sebuah jenama.

Untuk pertemuaan seterusnya, saya minta Nabil sediakan rangka modul dan content website tersebut. Alhamdulillah pada pertemuan seterusnya, semuanya disiapkan dengan baik walaupun masih ada beberapa perkara yang saya tidak puas hati. Saya maklumkan dan minta dibaiki lagi. (Untuk makluman pembaca saya adalah sangat pakar dalam memberi komen dan kritikan.)

lihat : http://chefnabil.com/modul-kursus/media/

Sekarang website telah hampir siap sepenuhnya. Sila lawat www.chefnabil.com

Langkah kedua, saya akan membantu Nabil untuk menembusi media. Kita akan mulakan semua ini dengan percuma. Kami cuba mencari “newsvalue” yang ada dalam modul perniagaan ini dan saya menghubungi pihak sebuah majalah wanita dan minta kebenaran untuk Chef Nabil ditemuramah untuk keluaran Jun nanti.

Media yang pertama adalah sangat penting. Jika anda sudah menembusi media yang pertama, media-media lain akan menjadi tersangat mudah.

Alhamdulilah, semalam wartawan telah datang untuk menemuramah beliau dan dalam pertengahan Jun, majalah ini akan berada di pasaran dengan cerita Chef Nabil.

Moga dengan ini, kami akan mendapat pelanggan untuk Kursus Masakan Makanan Jepun yang pertama yang dijangka akan dianjurkan pada bulan Jun 2011 ini.

Saya akan memantau Chef Nabil dari masa ke semasa untuk memastikan dia tidak melakukan kesalahan yang saya telah lakukan dan untuk memberikan nasihat serta sokongan.

Saya berharap beliau akan berjaya dan terkenal sebagai ikon Chef Masakan Jepun di Malaysia. Insya-Allah. Minta pembaca semua doakan.

terima kasih

Shahabudeen Jalil

No comments yet.

Write a comment:

You have to log in to write a comment.

More in bubmy (331 of 481 articles)